Thursday, 14 March 2013

Umrah 2013 : Miqat di Tana'em : Day 1

Assalamualaikum
 
 
Umrah bersama anak kecil ini juga bukannya mudah. Ada cabarannya. Perancangan awal dan rancangan rapi amat perlu untuk mengelakkan sebarang kesulitan dalam mengerjakan ibadat umrah dan ziarah sepanjang di Tanah Suci. Semua tetamu Allah berebut-rebut peluang melakukan ibadat semaksima dan sebaik mungkin disini. Termasuk juga kami ibubapa bersama anak kecil. Perlu kesabaran dan toleransi yang jitu sesame ahli rombongan.
 
 
Selesai umrah wajib kami yang pertama sekitar pukul 12 tengahari. Anak-anak sudah keletihan, meskipun masih di musim dingin, bertawaf diwaktu tengahari juga amat menguji keimanan. Peluh deras membasahi pakaian kami, lebih-lebih lagi anak kecil ini. Mereka nampak keletihan. Mama beralah, memberi papa giliran berzohor di Masjidil Haram bersama rombongan yang lain.
 
 
Sementara mama berganti menjaga anak-anak kecil ini di hotel. Perjalanan umrah ini masih panjang, kami baru menempuh perjalanan yang jauh dari KLIA ke Jeddah, kemudian ke Makkah. Dan anak-anak ini masih belum berehat. Meskipun airmata ini sememangnya tumpah tatkala mendengar laungan azan dari Masjidil Haram, tetapi tidak dapat berjamaah bersama, hatta sekadar 70m sahaja jaraknya. Mama redha. InsyaAllah, Allah Maha Mengetahui. Niat seorang ibu menjaga anak kecilnya, dan niat seorang isteri mendahulukan dan memuliakan suaminya.
 
 
Dan pada malamnya, setelah selesai solat Isya' dan makan malam di hotel. Kami suami isteri pergi ke Masjid Tana'em untuk bermiqat dan berniat ihram di sana untuk menunaikan umrah. Kami perlu berganti-ganti dengan ahli rombongan yang lain untuk menjaga anak kecil ini.
 

Sesiapa yang telah melakukan umrah dan ingin mengulanginya, baik untuk dirinya atau untuk orang lain maka dia harus keluar dari kawasan Haram menuju ke tempat yang terdekat dengan Haram.

Jika diukur dari Masjidil Haram, maka tempat yang terdekat itu adalah Tana'em atau juga biasa disebut Masjid 'Aisyah. Dari tempat itulah dia berniat dan berihram untuk umrah.

Dengan melakukakan itu, bererti dia telah mengumpulkan tempat yang halal dengan Tanah Haram.

 
 
Di Makkah ini kami tinggal di Hotel Al-Ghurfhan di Safwa Tower. Sekitar 70m dari Masjidilharam. Alhamdulillah sangat memudahkan kami rombongan berserta anak kecil dan nenek yang sudah berusia 73 tahun ini ke masjid. Turun ke perkarangan hotel sekitar 10.30 malam tatkala anak kecil kami sudah lena tidur, dan suasana di kota suci ini memang tak pernah tidur, sentiasa sibuk dengan jemaah berulang alik ke masjid, jemaah yang baru sampai dan juga yang mahu pulang, atau mahu ke Madinah pula.
 
 
Pelbagai urusan. Juga seperti kami, ingin bermiqat ke Tana'em. Memang banyak teksi yang menunggu. Tambang untuk perjalanan pergi dan balik adalah sekitar 60 riyal. Perjalanan ini sekitar 10 km dan mengambil masa sekitar 10minit sehala. Manakala bagi yang menaiki van pula, harga tambang mengikut kepala, sekitar  20 riyal/orang.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Ruang solat di Masjid Tanaem.
 
Segera solat sunat taiyatul masjid dan juga solat sunat ihram.Seterusnya berniat melakukan umrah. Ihram lebih mudah dilakukan di hotel dan menjimatkan masa.
 
 
 

Niat Umrah

 
 
 
 
 
 
 
 
Ihram dilakukan ketika berada di Miqat atau sebelum Miqat, dan hukumnya wajib.
 
Jika Ihram dilakukan setelah melewati Miqat, maka harus membayar kifarat, sedang ibadah umrahnya tetap sah.
 
 
 
 

 
 
Bagi yang berumrah, talbiyah dimulai ketika berada di Miqat, dan selesai ketika memulai thawaf di hadapan Hajarul Aswad.
 
 
 

Bacaan Talbiyah

  
 
 
 
 

Ertinya;

 

"Aku datang memenuhi panggilan-Mu Ya Allah,

Aku datang memenuhi panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu.

Aku datang memenuhi panggilan-Mu, sungguh segala puji, kenikmatan dan kekuasaan hanyalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu"

 
 
 
 
Van sewa dan teksi yang menunggu para jemaah. Pastikan ingat no.pendaftaran van atau teksi anda :)
 
 
 
 
 
 
 
Seterusnya bersegera ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah.
 
 
 
 
 
 
 
Melangkah ke Majidil Haram,
 

"Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Agung, Dengan kemuliaan dan kekuasaan-Nya dari gangguan syaitan yang terkutuk. Ya Allah, limpahkan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarganya. Ya Allah ampunilah dosaku, dan bukakanlah pintu rahmat-Mu untukku"

 
 
 
 
 
 
 
 

dan tatkala melihat Kaabah al-Musyarrafah,

 
 

"Ya Allah, tambahkan untuk rumah-Mu ini kemuliaan, keagungan, kehormatan, kebaikan dan kewibawaan. Dan tambahkan juga bagi orang yang memuliakannya dan mengagungkannya, baik itu yang melaksanakan ibadah haji dan umrah, keagungan, kemuliaan, kebaikan dan kewibawaan bagi mereka"

 
 
 
 
Berumrah bersama suami, mahram saya.
Kenangan paling manis buat kami berdua.
 
Takkan ada yang lebih indah bila kita saling berdoa dalam tawaf dan saei.
Ibadah yang menuntut kekuatan fizikal dan juga mental. Saling mengingatkan dan menjaga. Demi ihram yang menjadi pantang larangnya. Lambang penghambaan pada Yang Maha Kuasa.
 
Berkongsi rasa, mencipta harapan dan meluahkan dalam rintihan doa, mengadu
hanya pada Allah Yang Esa.
 
 
 
 
 
 
 
 
Selesai tawaf, dan solat sunat tawaf di belakang Makam Nabi Ibrahim.
 
 
Singgah sebentar dilaluan menuju Safa, untuk minum air Zamzam yang banyak disediakan di laluan ke Safa. Dianjurkan selesai tawaf, disunnahkan untuk minum air Zamzam sambil menghadap Baitullah dan berdoa.
 
 
 

Ibnu 'Abbas ketika meminum air Zamzam, selalu berdoa;

 

"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu iman yang benar, hati yang khusyu', lidah yang selalu berzikir, ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala penyakit"

 

 
 
 
 
 
Seterusnya saie bermula di Bukit Safa.
 

"Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah"

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Ruang saei yang padat berikutan penutupan ruang saei bertingkat yang lain untuk proses renovasi.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Dilaluan lampu hijau dimana Jemaah lelaki disunatkan untuk berlari anak.
 
 
 
 
 
 
 
 

Berdoa ketika saei,

 

"Tiada tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, Dialah Penguasa, bagi-Nya segala puji, Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa, Tiada sekutu bagi-Nya, Dia memenuhi janji-Nya, menolong hamba-Nya, dan Dia yang mengalahkan pasukan Ahzab"

 
 
Alhamdulillah selesai umrah kami.
 
Indahnya berumrah berdua bersama suami , berdoa bersama mengaminkan bacaan doa dan harapan kami berdua. Menghadiah umrah kami buat arwah ibu saya, ibu mertua yang tidak pernah beliau bertemu dan melihatnya. Alhamdulillah, terima kasih Allah. Moga cinta dan kasih kami menjadi ibadah untuk menggapai redhaMu.
 
 
 
 
 
 
 
 
Susur keluar dari ruang saei menuju ke ruang tawaf dan seterusnya ke pintu keluar masjid.
 
 
 
 
 
 
 
 
Selesai berumrah pada 1.50 am. Para jemaah kian ramai untuk melakukan umrah. Silih berganti. Kota Suci yang tidak pernah tidur. Semuanya berebut mengharapkan keampunan dan redha Allah.
 
 
 
 
 
 
 
 
be
 
 

 
 
Alhamdulillah. Meski hati meronta untuk beriktiqaf di Masjid menanti waktu solat subuh. Kami ada tanggungjawab untuk bergilir menjaga anak kecil kami.
 
Pulang ke hotel. Giliran rombongan kami yang lain pula ke Tanaem untuk Miqat dan seterusnya solat subuh berjemaah. Syukur Allah atas segala kurniaanMu!
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment