Assalamualaikum
Suasana subuh hari ketiga di bumi Madinah Al-Munawwarah, Kota Yang Bercahaya.
Salam dan selawat buat Junjungan agung Nabi Muhammad SAW.
Kubah hijau ini menandakan letaknya Makam Rasulullah SAW dan telah dibina pada zaman pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah tahun 1867M.
Kubah hijau ini menandakan letaknya Makam Rasulullah SAW dan telah dibina pada zaman pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah tahun 1867M.
Program ziarah Kota Madinah hari ini bermula awal pagi. Pukul 8 pagi kami sudah siap bersarapan dan bertolak. Over excited!!!
Destinasi Pertama: Masjid Quba'
Masjid ini adalah masjid yang pertama dibina dalam sejarah perkembangan Islam. Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah membina Masjid Quba' ini semasa perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622M.
Ia dibina berdasarkan sifat taqwa kepada Allah sebagimana dalam firmanNya dalam Surah Taubah, ayat 108 yang bermaksud;
"Sesungguhnya ia adalah sebuah masjid yang dibina atas dasar taqwa, ia lebih utama dan dirikanlah sembahyang di dalamya."
Masjid ini juga unik kerana mempunyai dua mihrab. Mihrab adalah ruang bahagian hadapan masjid tempat imam atau merupakan tanda arah kiblat. Terdapat satu mihrab di tengah-tengah masjid dan satu lagi dibahagian kiri masjid.
Mengikut catatan sejarah, di mihrab inilah Rasulullah SAW melihat Kaabah di Makkah Al-Mukarramah bagi menentukan arah kiblat Masjid Quba'. Mihrab ini dikenali sebagai Toqayal Kasyaf (jendela terbuka).
Jemaah dikehendaki menunaikan solat tahiyatul masjid dua rakaat. Sebaiknya berwudhu' daripada tempat tinggal kita dan mengekalkan wudhu' untuk mendapatkan fadhilat satu pahala umrah sembahyang di masjid Quba'.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang telah berwudhuk di rumahnya kemudian berkunjung ke masjid Quba' lalu ia melakukan sembahyang maka ia akan mendapat pahala seperti pahala mengerjakan Umrah." Riwayat Al-Tirmidhi.
Sabda Rasulullah SAW lagi, maksudnya;
"Sesiapa yang berwudhu' dan mengelokkan wudhu'nya, kemudian masuk ke Masjid Quba' dan sembahyang empat rakaat adalah yang demikian itu seperti pahala memerdekakan seorang hamba." Riwayat Al-Thabari
Di sini jua, ada seorang Jemaah wanita dari Karachi meminta izin saya untuk memeluk cium Amani, dalam bahasa mata, tangan dan mulut :) Sebenarnya sudah beberapa kali kami terjumpa. Mungkin terlalu rindu pada anaknya. Subhanallah.
NEXT
Jabal Uhud
Merupakan tempat berlakunya peperangan Uhud, di mana pihak Islam mendapat satu pengajaran penting. Akibat mengejar harta yang ditinggalkan oleh musuh ketika hampir mencapai kemenangan, tentera pemanah telah mengingkari perintah Nabi untuk mengawasi musuh di atas bukit.
Peluang ini digunakan oleh pihak musuh yang telah berundur untuk berpatah balik dan memberi tentangan hebat dari arah belakang. Nabi mengalami kecederaan dan bapa saudaranya, Saidina Hamzah RA gugur syahid.
Antara tujuan utama ziarah ke Jabal Uhud ini juga, adalah untuk ziarah kubur Saidina Hamzah RA.
Juga ada jualan di sini, shopping lagi :)
Mama and kids tak ikut turun. Amani is having her naptime and Arash tak nak ikut. Penatla tue :)
NEXT
Ladang kurma
Tanah Haram Madinah penuh barakah dan rahmat Allah. Madinah terkenal dengan kesuburan tanahnya dan kelazatan buah-buahannya. Hasil pertaniannya biarpun nampak sedikit tapi sentiasa cukup untuk berjuta-juta umat yang datang seluruh dunia, setiap masa. Lihat sahaja kepelbagaian jenis kurma yang dijual di Pasar Kurma, rasa kagum dibuatnya.
Kurma Ajwa yang istimewa bukan sahaja sedap rasanya malah dijadikan ubat dan penawar. Ia dikatakan didatangkan oleh Allah SWT dari syurga.
Hadis Rasulullah SAW dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Ajwa adalah dari syurga ia boleh menjadi penawar dari racun, cendawan dari madu, turun dari langit dan airnya menjadi penawar bagi mata." Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasai.
Kurma Ajwa juga menjadi penawar sihir, Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan tamar ini melalui hadis yang di riwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas RA;
"Sesiapa pada waktu pagi memakan tujuh biji kurma Ajwa dia tidak akan mendapat mudharat dari racun dan sihir pada hari itu." Muttafaqun alaih.
Kebetulan sekarang bukan musim berbuah, yang ada hanyalah tandan yang kosong :)
Di dalam kedai jualan di ladang kurma. Pelbagai jenis kurma dan buahan kering seperti kismis, buah tin, apricot dll. Kurma segar atau rotub pun ada dijual, tapi yang telah disejukbekukan, sebab bukan musim buah.
Pelbagai jenis coklat. Manisss betul coklatnya. Belilah sikit buat kenangan :)
NEXT
KILANG PERCETAKAN AL-QURAN
Namun begitu, hanya Jemaah lelaki sehaja dibenarkan masuk ke dalam kilang percetakan. Mereka juga diberi naskah Al-Quran, setiap seorang secara percuma. Alhamdulillah.
Kami Jemaah perempuan pula boleh melihat keluaran naskhah Al-Quran pelbagai saiz dan cetakkan di Al-Quran Gallery ini. Boleh juga terus membeli nashkah Al-Quran yang dihajati disini.
Lihatlah jalanraya di Kota Madinah, indah dengan lanskap bungaan mekar indah dan air terjun buatan. Siapa sangka padang pasir boleh ada semua ini. Teknologi dan pembiayaan yang tinggi dapat mengubahnya, semuanya dengan izinNya jua.
NEXT
Masjid Qiblatain
Masjid Qiblatain terletak kira-kira 3.5km dari Masjid Nabawi dan terletak di perkampungan Bani Salimah. Nama asalnya adalah Masjid Bani Haram-Bani Salimah. Ia dinamakan Masjid Qiblatain (2 kiblat) kerana semasa Rasulullah SAW bersembahyang di masjid ini baginda menghadap ke Baitulmaqdis manakala dua rakaat yang akhir menghadap Baitullah.
Di sinilah bermulanya perintah Allah SWT menetapkan kiblat sembahyang dari Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram. Perintah menukar kiblat sembahyang bagi umat Islam berlaku ketika Nabi SAW sedang bersembahyang Zuhur di masjid ini pada 15 Rejab 2H bersamaan 622M.
Sebagaimana firman Allah daripada Surah Al-Baqarah, ayat 144 yang bermaksud;
"Sesungguhnya kami lihat berulang-ulang mukamu (Ya Muhammad) ke atas langit (meminta turun wahyu). Dengan demikian kami palingkan engkau kiblat yang engkau sukai maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (Kaabah). Di mana-mana sahaja kamu berada hadapkanlah mukamu ke arahnya."
NEXT
Pasar Kurma
Tempat shopping paling ditunggu-tunggu!!!
Pelbagai jenis kurma, buahan kering, coklat, dan manisan. Terdapat pelbagai gred dan kualiti. Namun yang paling masyhur semestinya kurma Ajwa (kurma Nabi). Harganya sekitar 70-100 Riyal sekilo. Ikut jenis gred. Silalah tawar menawar. Satu perkara yang saya perasan di Madinah ini orangnya lebih lemah lembut dan mesra. Harga yang ditawarkan memang banyak yang dah murah, sampai tak sampai hati nak lebih-lebih menawar.
Teringat hadis Nabi SAW yeng menerangkan kesucian dan kemuliaan Kota Madinah;
Dari Jabir bin Sumrah RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah SWT menamakan Madinah, Tuba bermakna baik atau yang suci" Riwayat Muslim.
Besar sebenarnya pasar kurma ini. Tak sempat nak ambik gambar, tak sabar nak shopping!
Kami tak lama di sini sekitar 20 minit sahaja. Borong kat satu kedai sahaja. Anak-anak dah letih. Semua pun nak balik hotel, takut terlepas zohor di Masjid Nabawi yang amat besar fadhilatnya.
No comments:
Post a Comment